Monday 6 May 2013

Pemilihan Bahan Bacaan



GARIS PANDUAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN TAMBAHAN BAGI KEGUNAAN SEKOLAH

Pemilihan bahan bacaan tambahan adalah sebagai satu usaha oleh pihak sekolah untuk menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menyokong dan menepati keperluan pembelajaran murid yang pelbagai. Bahan bacaan tambahan yang dipilih hendaklah dapat membantu dan mengukuhkan pelaksanaan program perkembangan murid ke arah menjadi insan yang produktif dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Bahan bacaan tambahan yang dimaksudkan di dalam garis panduan ini meliputi semua bahan bacaan bercetak (kecuali buku teks yang diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan bahan bacaan tambahan yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia) bagi kegunaan sekolah untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

KANAK-KANAK DAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza. Oleh itu, persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sebuah bahan bacaan. Secara umumnya kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan umur seperti berikut:
1. umur 0-6 tahun (peringkat prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
SetiapBuku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.


2. Umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika:
Tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas.
Meluangkan masa “membaca” buku-buku bergambarnya.
Suka mendengar cerita.
Berminat dalam perkataan-perkataan dan leka untuk meningkatkan tatabahasanya.
Berpura-pura menulis dan membaca—cuba untuk menyalin huruf-huruf dan nombor.
Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang dan alam semula jadi.

3. Umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka.

4. Umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.  Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka.

            Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal.

            Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.

PRINSIP PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Terdapat beberapa garis panduan pemilihan bahan pengajaran, dan prinsip-prinsip pemilihan bahan pengajaran bahasa dirumuskan seperti yang berikut.

1. Sesuai
Perkataan sesuai itu sendiri membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu. Pemilihan bahan bacaan hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara-perkara seperti berikut :

a) objektif dan matlamat pengajaran bahasa
b) Pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
c) Keadaan pelajar
d) Suasana pembelajaran
e) Minat pelajar

Bahan bacaan yang dipilih hendaklah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut. Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan.

Guru juga sepatutnya mengambil kira keadaan pelajarnya yang datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika menyediakan bahan. Bahan-bahan yang sesuai dengan segolongan pelajar, mungkin tidak sesuai dengan segolongan pelajar yang lain. Faktor lain adalah suasana pembelajaran, dimana bahan yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan meninggalkan kesan yang baik. Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah pelajar, isi pelajaran, bahan dan guru. Dalam proses pembelajaran pula, rangsangan yang mengarah pada pemikiran dan seterusnya mewujudkan tingkah laku tertentu merupakan tiga konsep yang penting.

2. Mencabar
Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan yang dipilih dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar.

            Satu strategi pemeringkatan bahan bacaan yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada bahan-bahan yang mengandungi ciri-ciri berikut :
a) bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak.
b) Bahan yang mudah kepada yang kompleks.
c) Bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.
d) Bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif)
e) Bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif)
f) Bahan yang umum kepada teori.
g) Bahan masakini kepada masa akan datang.
3. Menepati

Ketepatan bahan bacaan dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan bacaan yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan bacaan yang dipilih mestilah menunjukkan perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah berdasarkan ciri-ciri yang berikut:

a) Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.
b) Susunan bahan
c) Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.
d) Maklumat yang kemaskini
e) Perbendaharaan kata yang sesuai
f) Bahan pengajaran yang diperakui.
4. Menarik

a) Reka letak: peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memydahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.
b) Saiz huruf cetak atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.
c) Ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan pemahaman.
d) Kualiti kulit dan cara buku dijilid
e) Bahan pengajaran mengandungi arahan yang jelas.

5. Jimat dan mudah
Sekiranya untuk menghasilkan bahan bantu mengajar tersebut dibeli, tidak semestinya mahal. Sebaliknya bahan tersebut boleh dihasilkan dengan kreativiti guru contohnya dengan menggunakan bahan terbuang.\

6. Praktikal
Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Bahan bacaan seharusnya sederhana dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar. Ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan sekiranya digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada masa dan mata pelajaran lain.

No comments:

Post a Comment