Monday 6 May 2013

Definisi Membaca

Menurut kamus Dewan edisi Empat, ’baca’ ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. 

Robert Lado (1964) menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya manakala Steinberg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis. 

Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula, beliau menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan,menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan tesebut. 

Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan bahawa proses membaca merupakan perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. Beliau telah merumuskan proses membaca seperti berikut:  


  1. Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. 
  2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya. 
  3. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca. Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti berikut:
  • mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
  • mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
  • menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
  • mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan, dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
  • mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

         4. Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.

No comments:

Post a Comment