Monday 6 May 2013

Pendekatan dalam Mengajar membaca


Kaedah Mengajar Bacaan
·        Kaedah abjad/huruf
·         Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
·         Kaedah fonik/bunyi
·        Kaedah Gabungan Bunyi-kata

Kaedah Abjad/huruf
          Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh:
1.     Memperkenalkan huruf : a - z
2.     Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
3.     Menggabungkan huruf konsonan dan vokal : ba, be, bi, bo, bu
4.     Membentuk perkataan daripada suku kata : ba + tu = batu
5.     Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.

          Kekuatan kaedah ini adalah kerana ianya sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.



Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan

          Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.
          Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.
          Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]




Kaedah Fonik/bunyi
          Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
          Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]




Kaedah gabungan bunyi – kata( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )
          Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

Contoh;
  • Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang.       Murid menyebut nama huruf tersebut.
  • Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
  •  Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.
  • Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.
  •  Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.
  • Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf (terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).
  • Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu

   

         
Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;
  •                         Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).
  •                       Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).
  •  

          Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.

Pemilihan Bahan Bacaan



GARIS PANDUAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN TAMBAHAN BAGI KEGUNAAN SEKOLAH

Pemilihan bahan bacaan tambahan adalah sebagai satu usaha oleh pihak sekolah untuk menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menyokong dan menepati keperluan pembelajaran murid yang pelbagai. Bahan bacaan tambahan yang dipilih hendaklah dapat membantu dan mengukuhkan pelaksanaan program perkembangan murid ke arah menjadi insan yang produktif dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Bahan bacaan tambahan yang dimaksudkan di dalam garis panduan ini meliputi semua bahan bacaan bercetak (kecuali buku teks yang diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan bahan bacaan tambahan yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia) bagi kegunaan sekolah untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

KANAK-KANAK DAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza. Oleh itu, persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sebuah bahan bacaan. Secara umumnya kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan umur seperti berikut:
1. umur 0-6 tahun (peringkat prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
SetiapBuku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.


2. Umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika:
Tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas.
Meluangkan masa “membaca” buku-buku bergambarnya.
Suka mendengar cerita.
Berminat dalam perkataan-perkataan dan leka untuk meningkatkan tatabahasanya.
Berpura-pura menulis dan membaca—cuba untuk menyalin huruf-huruf dan nombor.
Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang dan alam semula jadi.

3. Umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka.

4. Umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.  Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka.

            Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal.

            Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.

PRINSIP PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Terdapat beberapa garis panduan pemilihan bahan pengajaran, dan prinsip-prinsip pemilihan bahan pengajaran bahasa dirumuskan seperti yang berikut.

1. Sesuai
Perkataan sesuai itu sendiri membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu. Pemilihan bahan bacaan hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara-perkara seperti berikut :

a) objektif dan matlamat pengajaran bahasa
b) Pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
c) Keadaan pelajar
d) Suasana pembelajaran
e) Minat pelajar

Bahan bacaan yang dipilih hendaklah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut. Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan.

Guru juga sepatutnya mengambil kira keadaan pelajarnya yang datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika menyediakan bahan. Bahan-bahan yang sesuai dengan segolongan pelajar, mungkin tidak sesuai dengan segolongan pelajar yang lain. Faktor lain adalah suasana pembelajaran, dimana bahan yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan meninggalkan kesan yang baik. Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah pelajar, isi pelajaran, bahan dan guru. Dalam proses pembelajaran pula, rangsangan yang mengarah pada pemikiran dan seterusnya mewujudkan tingkah laku tertentu merupakan tiga konsep yang penting.

2. Mencabar
Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan yang dipilih dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar.

            Satu strategi pemeringkatan bahan bacaan yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada bahan-bahan yang mengandungi ciri-ciri berikut :
a) bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak.
b) Bahan yang mudah kepada yang kompleks.
c) Bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.
d) Bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif)
e) Bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif)
f) Bahan yang umum kepada teori.
g) Bahan masakini kepada masa akan datang.
3. Menepati

Ketepatan bahan bacaan dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan bacaan yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan bacaan yang dipilih mestilah menunjukkan perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah berdasarkan ciri-ciri yang berikut:

a) Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.
b) Susunan bahan
c) Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.
d) Maklumat yang kemaskini
e) Perbendaharaan kata yang sesuai
f) Bahan pengajaran yang diperakui.
4. Menarik

a) Reka letak: peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memydahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.
b) Saiz huruf cetak atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.
c) Ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan pemahaman.
d) Kualiti kulit dan cara buku dijilid
e) Bahan pengajaran mengandungi arahan yang jelas.

5. Jimat dan mudah
Sekiranya untuk menghasilkan bahan bantu mengajar tersebut dibeli, tidak semestinya mahal. Sebaliknya bahan tersebut boleh dihasilkan dengan kreativiti guru contohnya dengan menggunakan bahan terbuang.\

6. Praktikal
Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Bahan bacaan seharusnya sederhana dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar. Ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan sekiranya digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada masa dan mata pelajaran lain.

Masalah dalam Membaca


1.0 Masalah Membaca
            Isu yang semakin menjadi kebimbangan pada abad ini ialah apabila terdapat sesetengah pelajar yang tidak mampu membaca walaupun telah mencapai usia yang sepatutnya. Hal ini telah menyebabkan banyak pihak terutamanya ibu bapa, pendidik dan masyarakat bimbang akan hal ini akan berterusan. Memang tidak dinafikan bukan sahaja pelajar yang berada di sekolah rendah yang tidak mampu membaca namun yang lebih merumitkan apabila terdapat pelajar sekolah menengah juga mengahadapi kesukaran untuk membaca namun hanya segelintir dari mereka yang terlibat. Terdapat dua kategori permaslahan ini yang pertama disebut sebagai umur akal dan yang kedua disebut sebagai umur biologi. Umur akal ialah istilah yang digunakan bagi pelajar yang tidak dapat membaca pada tahap umur sepatutnya berdasarkan umur biologi atau dengan kata lain umur seseorang pelajar yang disukat berdasarkan kurikulum rasmi pendidikan seperti tahun satu.  Manakala umur biologi ialah umur yang dikira sejak seseorang itu dilahirkan.
            Bagi konteks ketidakupayaan membaca ini dapat kita bahagikan kepada dua. Yang pertama boleh disebut ketidakupayaan membaca pada tahap umur akalnya dan yang kedua disebut ketidakupayaan akibat kecacatan. Sebagai contoh ketidakupayaan membaca pada tahap umur akal adalah seperti kanak – kanak yang umur biologinya 10 tahun dan umur akalnya darjah empat. Berdasarkan kepada Kurikulum pendidikan sepatutnya kanak – kanak ini sudah mempunyai kemahiran untuk membaca. Manakala bagi ketidakupayaan membaca umur biologi ialah apabila seseorang kanak – kanak itu tanpa mengambil kira umur akalnya mengalami masalah kesihatan seperti kecacatan yang menyebabkan mereka tidak dapat membaca.
2.0 Punca yang menyebabkan berlakunya masalah ketidakupayaan membaca.
            Antara masalah ini ialah disebabkan faktor fizikal dan neurologikal.

2.1 Faktor Fizikal
Pada kebiasaanya kecacatan yang ringan terhadap deria tidak akan menganggu keupayaan membaca. Namun kecacatan yang teruk akan menganggu keupayaan untuk membaca. Antara kecacatan fizikal yang mampu menganggu keupayaan membaca ialah seperti berikut.

2.1.1 Penglihatan
Terdapat pelbagai punca atau sebab yang menganggu keupayaan membaca antaranya:
·      Juling – fokus kepada sesuatu benda dengan menggunakan kedua – dua biji mata. Hal ini akan menyebabkan imej sesuatu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuk.
·         Rabun dekat – tidak mampu untuk melihat pada jarak yang dekat.
·         Rabun jauh – tidak mampu untuk melihat pada jarak yang jauh.
·         Amblyopiks – satu imej dari salah satu biji mata tidak sampai ke otak.
·    Astigmatism – kurangnya fokus cahaya pada salah satu atau kedua – dua hujung retina menyebabkan penglihatan menjadi kabur.

Hal ini akan memyebabkan kesukaran kepada kanak – kanak untuk menggunakan penglihatan mereka untuk membaca. Jika ini berlaku pada peringkat awal ini akan menyebabkan masalah yang lebih teruk pada peringkat mendekod.

            2.1.2 Persepsi Penglihatan
            Terdapat sesetengah pelajar yang menghadapi masalah dimana penglihatan mereka bercelaru. Antara simptom masalah tersebut ialah :
·         Perkataan yang dilihat seperti bercampur dan menghasilkan perkataan yang tidak bermakna.
·         Perkataan yang dilihat oleh pesakit menjadi terbalik.
·         Pelajar yang menghadapi kesukaran untuk membezakan makna.
·         Perkataan menjadi seperti imej cermin.
Sebagai ibu bapa dan guru, keta perlu peka dengan permasalahan tersebut agar langkah – langkah rawatan yang sesuai boleh diambil. Pada kebiasaanya permasalahan tersebut boleh diperbetulkan dengan rawatan yang betul.

2.1.3 Pendengaran
Pelajar yang menghadapi masalah pendengaran akan menghadapi kesukaran untuk menuntut ilmu. Pelajar yang menghadapi masalah pendengaran yang ringan boleh diberikan rawatan yang sesuai. Mereka yang menghadapi masalah ini akan menghadapi kesukaran untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Terdapat dua jenis kecacatan iaitu kecacatan sementara dan kecacatan kekal. Kecacatan sementara boleh diubati dengan cara permbersihan telinga atau pengambilan antiobiotik manakala kecacatan kekal perlu merujuk kepada doktor pakar bagi membolehkan rawatan yang sempurna diberikan kepada pesakit.

2.1.4 Pertuturan
Punca masalah pertuturan ialah masalah tumbesaran, pendengaran, masalah dalam pertumbuhan kerongkong, sumbing, atau kecederaan otak sama ada serius atau tidak. Namun begitu masalah ini tidak mengakibatkan ketidakupayaan membaca dan jika terdapat kesan sekalipun kesan tersebut kepada psikologi.

         2.2 faktor Neurologikal
            Neurologikal ialah kajian yang berkaitan dengan otak, sistem saraf, tulang belakang, urat dan bahagian organ reseptor. Sebahagian tisu ini memberikan kesan kepada kebolehan seseorang individu dalam membaca. Antara faktor neurologi ini berkaiatan dengan masalah kesihatan seperti jangkitan kuman atau prakelahiran. Antara contoh adalah seperti berikut :

            2.2.1 Kerosakan otak
Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan berlakunya kerosakan pada otak antaranya seperti penyakit atau kesan bahan toksik yang mencemar otak atau sebahagian otak. Selain itu kecederaan otak boleh berlaku sejak seseorang itu dilahirkan. Hal ini akan menyebabkan berlaku perubahan yang luar biasa terhadap bentuk otak. Pada kebiasaanya penyakit ini dapat dikesan menerusi pemeriksaan yang dinamakan electroencephalogram ( EEC).

            2.2.2 Neurologi tidak berfungsi
                        Neurologi tidak berfungsi ialah dimana otak tidak dapat berkembang sepenuhnya atau bahagian otak yang tertutup sepenuhnya sejak dilahirkan. Selain itu hyperlexia merupakan satu penyakit dimana penyakit ini akan menganggu perkembangan bahasa seseorang. Simptom ini juga akan mengakibatkan masalah ketidakupayaan membaca dan pelajaran yang serius.


            2.2.3 Faktor keturunan
Terdapat kajian dimana dalam kajian tersebut menyatakan bahawa genetik merupakan salah satu faktor yang kuat mempengaruhi perkembangan pembacaan seseorang. Selain itu keadaan keluarga turut mempengaruhi perkembangan pembacaan seseorang. Hal ini dapat dijelaskan berdasarkan kajian dimana anak yang dibesarkan dalam keluarga yang boleh membaca mempunyai tahap pemikiran lebih tinggi berbanding anak yang dibesarkan dalam keluarga yang tidak boleh membaca.

            2.2.4 Faktor emosi
Kegagalan dalam pembacaan akan menganggu emosi kita. Pelajar yang mempunyai masalah dalam pembacaan akan mempunyai rasa rendah diri, tidak bermotivasi, kecewa dan lain – lain lagi. selain itu bukan sahaja disebabkan faktor dalam pelajar terbabit yang mempengaruhi masalah dalam pembacaan namun masalah persekitaran turut menyebabkan masalah ini berlaku seperti penderaan, pergolakan keluarga, dan lain – lain lagi. Ini secara tidak langsung akan menganggu emosi mereka.

Cara Belajar Membaca dengan Cepat


Teori Membaca

Teori membaca terbahagi kepada enam teori iaitu:
1. MEMBACA NYARING (oral reading ) 
Membaca nyaring adalah proses melisankan dengan menggunakan suara, intonasi, tekanan secara tepat , serta pemahaman makna bacaan oleh pembaca. Membaca nyaring memiliki beberapa aspek iaitu:  

  • Membaca dengan pikiran dan perasaan pengarang
  • Memerlukan keterampilan menafsirkan lambang-lambang grafis.
  • Memerlukan kecepatan pandangan mata
  • Memerlukan keterampilan membaca , terutama mengelompokkan kata secara tepat.  
  • Memerlukan pemahaman makna secara tepat.


Manfaat membaca nyaring antara lain ialah: 
1) Boleh memperoleh kesenangan dan memupuk keyakinan atau percaya diri. 
2) Boleh menanamkan disiplin diri
3) Boleh berimaginasi apabila dilakukan dalam membaca fiksi. 
4) Boleh meningkatkan pemahaman mengenai makna bahan yang dibaca.

2. MEMBACA DALAM HATI ialah kegiatan membaca yang hanya meningkatkan kemampuan visual, pemahaman, serta ingatan dalam menghadapi bacaan tanpa mengeluarkan suara. Salah satu cara  membaca dalam hati, iaitu membaca secara Ekstensif  ( proses membaca yang dilakukan secara luas).  
Jenis – jenis membaca Ekstensif : 

  •  Membaca survey ialah : kegiatan membaca yang bertujuan mengetahui gambaran umum mengenai  isi dan ruang lingkup bahan bacaan. 
  •  Membaca sekilas ialah : membaca yang bertujuan untuk mencapai / mendapatkan informasi secara cepat .
3. Membaca skimming, scanning adalah membaca dengan cepat sesuatu bahan bacaan untuk mendapatkan kesan awal dan untuk menemukan sesuatu maklumat yang kita cari, yang terdapat dalam bacaan. Membaca skimming adalah membaca untuk memperoleh kesan umum. Membaca scanning pula adalah membaca dengan tujuan untuk mendapatkan informasi khusus sahaja. 

4. Membaca pemahaman ialah kegiatan membaca yang bertujuan untuk memperoleh pengertian atau memahami bahan bacaan secara cepat dan tepat. Dalam membaca pemahaman ada beberapa aspek yang diperlukan antaranya ialah 

  • Seorang pembaca harus mempunyai kosa kata yang banyak. 
  • Memiliki kemampuan mentafsirkan makna kata 
  • Memiliki kemampuan idea pokok 
  • Memiliki kemampuan menangkap urutan peristiwa sesuatu cerita.
5. MEMBACA CEPAT Ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara cepat dan disertai dengan pemahaman terhadap isi bacaan. Kecepatan membaca boleh disebut kemampuan membaca. Kemampuan membaca ialah kepantasan yang dicapai oleh pembaca dalam membaca sesuatu bahan bacaan.

6. MEMBACA FIKSI ialah membaca buku non fiksi dengan menggunakan cara S Q 3 R iaitu 
Survey – Question – Read – Recite – Review. 

Definisi Membaca

Menurut kamus Dewan edisi Empat, ’baca’ ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. 

Robert Lado (1964) menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya manakala Steinberg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis. 

Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula, beliau menyatakan membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan,menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan tesebut. 

Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan bahawa proses membaca merupakan perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. Beliau telah merumuskan proses membaca seperti berikut:  


  1. Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. 
  2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya. 
  3. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca. Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti berikut:
  • mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
  • mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
  • menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
  • mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan, dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
  • mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

         4. Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.